”Eppure, simuove”

 

Artikel ini ditulis bukan untuk membicarakan tentang lagu terbaru Il Divo malahan Andrea Bocelli ataupun Lucianno Pavarotti. Apatah lagi membicarakan tentang lagu pop Itali yang sememangnya kurang mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya.
Frasa yang berbunyi “Eppure, simuove” dalam bahasa Itali dan jika dialihbahasa ke Bahasa Melayu bermaksud “Cakap apa yang anda suka, ia bergerak” Ungkapan ini mempunyai kaitan langsung dengan pemikir yang tersohor dunia iaitu Galileo. Untuk makluman pembaca –pembaca sekalian, Galileo ialah seorang saintis, ahli pemikir, ahli falsafah yang terkenal kerana mempopularkan teori “heliocentricism”.
Pada tahun 1633, beliau menghadapi pertuduhan bidaah yang menyeleweng. daripada pihak Vatican. Pertuduhan pihak Vatican berbunyi seperti berikut “Pendapat dimana matahari adalah pusat sistem planet and statik adalah tidak boleh terima, salah daripada segi falsafah dan secara rasmi bidaah yang menyeleweng kerana bertentangan dengan Kitab Bible.”
Kesalahan utama Galileo ialah bukan kerana menentang pihak Vatican, tetapi cara dan bagaimana beliau menentang pihak Vatican. Galileo melakukan satu kesilapan yang besar dengan penerbitan pandangan beliau yang dianggap satu bidaah yang menyeleweng di dalam bahasa Itali, bukan bahasa Latin. Secara langsung, Galileo meletakkan pandangan beliau dihadapan pihak Vatican and berjaya menyampaikan pandangan beliau kepada rakyat jelata.
Mempopularkan bidaah yang menyeleweng, jika dibandingkan dengan bidaah yang menyeleweng adalah satu dosa yang lebih besar, kerana dijangka mampu mengugat kedudukan dan reputasi Pius Besar. Akhirnya, Galileo menarik pandangan beliau dan mengungkapkan satu ungkapan yang berbunyi “Eppure, simuove”.
Pencercaan Galilieo oleh pihak Vatican  kerana mempersoalkan pihak Vatican adalah satu petanda kelemahan pihak Vatican bukan satu petanda kekuatan. Selari dengan masa itu, gerakan Inquisasi pula menyaksikan pihak Vatican menghadapi gerakan penukaran agama penganut Roman Katolik yang paling besar dalam sejarah.
Sesebuah institusi seperti Vatican yang tidak dapat menerima kritikan, terutama kritikan saintifik yang berlunaskan pemikiran kritis dan logikal, adalah satu institusi yang bermasalah. Tindakan mengenepikan kritikan  sebagai satu bidaah yang menyeleweng, atau satu penderhakaan, ataupun satu dosa kepada institusi, adalah satu petanda yang sangat buruk.
Kini telah mencapai satu tahap yang boleh dikatakan kritikal, pelbagai kritikan yang dilontarkan kepada pemerintahan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Badawi.
Walaubagaimanapun hampir keseluruhan pengkritik terutama yang berasaskan media alternatif yang mengkritik PM diserang dari pelbagai sudut terutama media arus perdana dan pengkritik dilakukan seperti musuh nombor satu negara. Pelbagai lontaran diberikan seperti penderhaka kepada bangsa, agama dan negara, monyet, “unemployed” dan bermacam – macam lagi seolah – olah kritikan itu adalah satu “jenayah” yang besar dan sangat merbahaya.
“Jenayah” terkini yang paling popular ialah mempersoalkan tentang situasi ekonomi dan politik seperti isu WPI, kelemahan dasar – dasar yang tidak terang dan jikalau terang pun, tidak memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia. Mempersoalkan tentang perkara – perkara berkaitan isu – isu ekonomi dan politik terutama yang seakan – akan mengupas, merobek kelemahan pentadbiran Perdana Menteri dilihat sebagai tidak patriotik dan mempersoalkan sesuatu yang tidak elok sedang berlaku di dalam Malaysia adalah suatu bidaah yang menyeleweng, tidak masuk akal, malahan bodoh.
Mempersoalkan dasar – dasar yang tidak jelas dan tidak memberi keuntungan kepada rakyat Malaysia ini dianggap seolah – olah seperti satu dosa kepada pemimpin, terutama pemimpin UMNO. Dasar – dasar yang caca merba, sering kali bertentangan dengan dasar – dasar yang dibuat pada masa pemerintahan Tun. Dr. Mahathir hanya mampu berdiri tanpa satu asas yang kukuh.
Secara tidak langsung, seperti zaman Vatican, mereka – mereka yang berkepentingan akan mengalami kerugian yang sangat besar jika kebenaran diwar-warkan kepada rakyat jelata. Sebalik daripada pengunaan analisa yang kritis dan logikal, mereka (pembuat dasar) berasaskan kepada dogma terutama free market yang tidak menjamin kesejahteraan rakyat secara amnya.
Lebih menyedihkan mereka ini melabel pengkritik yang mempersoalkan dasar – dasar ekonomi dan politik sebagai satu bidaah yang menyeleweng. Jikalau satu jenayah telah dilakukan kerana perasaan skeptikal berkenaan situasi ekonomi dan politik, harus diingat sejumlah besar mereka yang mempersoalkan perkara ini adalah penyokong kuat pentadbiran Perdana Menteri sebaik sahaja beliau mengambilalih dari seorang “diktator” pada tahun 2003.    Saya meminjam ungkapan diktator yang digunapakai oleh Tun Dr. Mahathir semasa program bersama PRIMA tempohari untuk mengambarkan betapa “teruknya” pemerintahan Tun Dr. Mahathir.
Adakah Perdana Menteri kini menyatakan dan melakukan perkara yang benar? Bagaimana pula mereka – mereka yang mempersoalkan Perdana Menteri? Siapa yang betul? Perlukan kita mengkritik perkara yang “tidak betul”, “rekaan” “ekonomi kita berada di landasan yang kukuh” “keputusan yang dibuat adalah betul dan tidak silap”?
Adakah ada satu tahap maksima dimana lontaran kritikan boleh diberikan kepada Perdana Menteri?  Mari kita lihat isu Proton dan penjualan MV Agusta dan isu – isu lain.
Sekiranya Proton mengalami kerugian yang besar, dan perlu menjual hakmilik ekuiti Proton di dalam MV Agusta yang dibeli dengan nilai Rm500 juta dengan harga 1 euro,  untuk mengurangkan kerugian kepada syarikat Gevi spa yang kemudianya menjual sebuah unit di dalam MV Agusta kepada BMW dengan nilai 93 juta euro.  Apakah pentadbiran Proton gagal melihat kemungkinan dan potensi yang dilihat oleh Gevi Spa? Atau ada sesuatu yang tidak kena? 
Bagaimana pula negara kita yang kaya dan mewah dengan sumber minyak dan mempunyai kadar simpanan yang tertinggi di Asia selepas Jepun, masih perlu meminjam wang dari negara Cina untuk menyempurnakan pembinaan Jambatan Kedua di Pulau Pinang?
Mengapa negara kita mempromosikan Wilayah Pembangunan Iskandar yang secara terang memberi kelebihan kepada pelabur Singapura dan tidak kepada rakyat Malaysia terutama rakyat Johor?  
Daripada segi psikologi,  mereka – mereka yang melalui sistem pendidikan negara, (yang teruk dikritik yang sekurang – kurangya mahir dengan 3M – Membaca, Menulis dan Mengira) dapat menjuruskan ini adalah satu kerugian yang besar. Secara langsung, mereka akan mempersoalkan apakah logika penjualan yang terang – terangan merugikan Proton, sebuah entiti perniagaan majoriti milikan negara dan secara terangan menguntungkan Gevi spa
Semakin hari semakin banyak kesilapan dasar dan keputusan yang telah dibuat tidak menguntungkan rakyat dan negara, dari isu WPI, isu penjualan air kepada Singapura, isu kapal terbang untuk Perdana Menteri, isu jambatan bengkok dan isu perlantikan Hakim Besar Malaya,  mengusulkan kepada satu keperluan psikologi dimana rakyat – rakyat terpaksa memikirkan kemana arah haluan dan tujuan negara kita ini jika terus dipelopori oleh pemimpin yang berkepentingan yang tidak dapat menerima kritikan.  
Permasalahnya, kritikan yang dilontarkan dilabel sebagai satu dosa, satu bidaah yang menyeleweng untuk menutup kelemahan dasar, yang sepatutnya kritikan ini dikupas, dianalisa dirobek, diuji, diperkasa untuk mengukuhkan dasar – dasar pembangunan negara bukan hanya diterima bulat-bulat.
Permasalahan ini tidak akan hilang begitu saja dengan mengenepikan kritikan – kritikan yang dilontarkan. Masalah tidak akan selesai dengan hanya melaungkan kata – kata laungan retorik kerana kini lebih ramai rakyat sedar dan akan sedar tentang masalah yang bakal dihadapi kelak jikalau tiada penyelesaian yang bersesuaian diambil.
Persoalan yang perlu dijawap oleh pembaca sekalian ialah apakah langkah yang sesuai untuk menghadapi pemimpin ysng tidak boleh menerima kritikan? Perlukan UMNO dikorbankan untuk mengenepikan pemimpin yang tidak efektif? Rata – rata rakyat Malaysia berbangsa Melayu masih yakin dengan perjuangan UMNO. Persoalan yang lebih utama mampukah UMNO mengenetepikan pemimpin yang tidak efektif untuk kepimpinan bersama. Persoalan ini hanya bakal dijawap pada pilihanraya ke 12 akan datang ataupun pemilihan agung UMNO kelak.